Rabu, 22 Disember 2010

Tong Sampah Semporna



Pejabat Majlis Daerah Semporna

Assalamualaikum dan salam satu Malaysia.

Sebelum saya meneruskan bicara ini, saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Natal yang bakal menjelang kepada warga Kristian seluruh dunia dan Selamat Tahun Baru kepada semua. Semoga tahun baru ini membawa tuah dan kegembiraan kepada anda semua. Hari ini, saya ingin bercerita tentang tong sampah Semporna.

Sedang saya menikmati suasana malam di dalam sebuah kereta Kancil yang sedang bergerak , tiba-tiba hati ini bagai digelitik apabila melihat papan iklan Majlis Daerah Semporna yang turut mewar-warkan slogan ‘Saya Anti Kutu Sampah’ sama seperti di daerah lain. Walhal, sampah masih menghiasi jalan-jalan pekan bahkan lebih hebat dari bunga yang ditanam oleh kontraktor Majlis Daerah Semporna masa itu. Di Taman Tong Talun(taman riadah mini pekan) pula, sampahnya ada di merata-rata tempat. Mana pekerja pembersihan ya? tak nampak pun. Patutlah.. dah 11 malam.

Terbaru, Majlis Daerah Semporna mengeluarkan notis menuntut tunggakan cukai pintu di beberapa perumahan. Antara perumahan yang terlibat ialah Taman Sempaul, Taman Miramas, Taman Alizan, Taman Kailah, Taman Heng Loong, Taman Nebung, Taman Cahaya dan Taman Pelangi. Soal itu saya setuju sangat. Lagipun pungutan itu adalah untuk kemudahan yang akan berbalik kepada warga tempatan juga. Ha, bagi penghuni taman perumahan yang disebutkan tadi tu, bayarlah ya. Amaran denda 8% telah diberi. Banyak tu.... kalau setahun kena RM600 + 8% = RM648(nilai cukai pintu tak sama, semakin jauh dari pekan semakin murah menurut Encik Samatang selaku pegawai pemungut cukai)

Apa yang menjengkelkan saya setelah lima tahun menduduki rumah ini, kami di kawasan perumahan ini tidak pernah mendapat tong sampah apa lagi perkhidmatan memungut sampah. Jauh panggang dari api. Apabila saya bertanya kepada Encik Samatang, beliau menyatakan bahawa kawasan saya yang membayar cukai pintu hanya seorang. Oleh kerana penduduk lain belum bayar cukai pintu, tong sampah tidak boleh dibekalkan kepada kami. Kali kedua(masa lain) saya bertanya lagi, jawapannya ialah tong sampah itu belum sampai dari Kota Kinabalu. Apakah muslihat yang cuba kamu mainkan ni Encik Samatang? Cukai pintu jika tak bayar akan dikira sebagai liabiliti(hutang). Jadi, kalau dah kira hutang tu kenalah juga kami rasa perkhidmatannya kan. Ini bermakna saya sebagai pembayar cukai pintu kira rugilah sebab tak merasa faedah daripada pembayaran yang telah dibuat itu.

Sebelum ini, ada juga sebuah tong sampah besar(XXXXXL) diletak lebih kurang 5 meter dari kawasan kediaman kami. Jadi, kami yang berkenderaan mudahlah sikit nak buang sampah. Tiba-tiba sebulan lepas, tong sampah itu pula hilang. Akhirnya, masyarakat kampung berdekatan membuang sampah mereka di tepi jalan tempat bekas tong sampah sebelum ini. Majlis Daerah Semporna, mana sudah tong sampah itu ha? Kenapa kamu suka-suka alih tong sampah. Kerana kamu, masyarakat membuang sampah merata-rata. Parahnya, anjing liar yang berkeliaran menyelongkar lagi sampah tersebut sehingga menjadi cebisan berbau yang menyesakkan hidung.

Tong sampah di pekan juga sering berpindah randah. Kini tong sampah besar bergandingan menetap berhadapan dengan premis MDS iaitu Blok Lepa. Seluruh masyarakat Semporna yang ingin menjaga kebersihan bergantung dengan dua tong tersebut. Biasalah jika penawaran lebih daripada permintaan. Akhirnya tong sampah yang diam di situ penuh dengan sampah sehingga mengotori kawasan sekelilingnya. Tetapi jadual mengangkut untuk membuang sampah berkenaan masih sama. Satu hari satu kali.

Lagi-lagi pasal tong sampah. Agaknya lori pengangkut dah tua tak larat nak angkut sampah, pekerja MDS dapat idea baru. Bakar sampah dalam tong sampah. Kenapa nak bakar sampah dalam tong sampah besar tu di tengah-tengah pekan pada tengahari panas? Asap tebal tu boleh menyebabkan orang yang lalu-lalang sesak nafas. Pada masa yang sama juga boleh menyebabkan barang dagangan peniaga yang berdekatan menjadi hitam. Adui!!! Mimpi apa menyebabkan kamu(MDS) buat begini? Jabatan kesihatan dah bagi luluskah membakar sampah di kawasan ramai orang ni? Carilah kawasan yang lebih jauh untuk bakar sampah tu lain kali ya..

Majlis Daerah Semporna. Seandainya kamu boleh mencontohi daerah luar seperti Tawau dan Lahad Datu, di mana terdapat tong sampah bersaiz sederhana diletakkan di setiap blok bangunan premis untuk memudahkan pengguna tong sampah membuang sampah mereka. Saya yakin, lambat laun slogan yang kamu war-warkan itu pasti berjaya. Walaupun perubahan yang dinanti itu berjalan dengan perlahan tetapi hasilnya pasti akan memuaskan.

Majlis Daerah Semporna, setiap tahun berakhir akan bermula dengan tahun baru. Alangkah baiknya jika tahun 2011 ini hak kami diberikan. Bukan sahaja tong sampah,rerumput di tepi jalan dibersihkan, lampu jalan dinyalakan pada waktu malam dan termasuk pembersihan longkang di bawah pentadiran Majlis Daerah Semporna. Jangan tunggu sumbat dan banjir baru kamu kelam kabut bekerja. Jangan tunggu Datuk Shafiee datang baru menyala lampu jalan dan berpotong rumputnya. Majlis Daerah Semporna, walaupun berbeza darjat dan pangkat dengan pemimpin tempatan namun, kami masih sama sebagai pembayar cukai pintu. Semoga mesej ini sampai kepada kamu dan tidak menganggap ini sebagai negatif. Terima kasih.

Jom kita tengok-tengok gambar di bawah;

Gambar di atas bersebelahan(jarak 2-3 meter sahaja) dengan SK Pekan II, Semporna

Ini adalah sebahagian murid yang terpaksa menhidu bau busuk sampah sepanjang hari persekolahan.

Inilah mangsa Majlis Daerah Semporna. Anak saya yang menuntut di prasekolah sering mengadu bau busuk dan sakit dada. Kepada siapakah kami patut mengadu apabila pihak terbabit tidak mahu melayan aduan kami?

Ahli Jawatankuasa Majlis Daerah Semporna

Saya berharap mereka (MDS) berpegang kepada Piagam Pelanggan mereka ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan