Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Telah lama saya pendamkan hal ini. Namun akhirnya terpaksa juga saya melepaskan pekung di dada untuk memerihalkan budaya kuning yang mulai menguasai pemikiran segelintir remaja di daerah ini iaitu Semporna. Akhirnya, wujudlah kejadian pelajar merakamkan aksi seks mereka yang kini sedang menular melalui telefon-telefon bimbit yang canggih-manggih.
‘Budaya kuning sudah mulai menjajah di Semporna. Budaya kuning harus dicegah’. Itulah kata-kata yang lahir dari kotak fikiran saya. Pihak berkuasa hanya berdiam diri melihat mereka iaitu pelancong menelanjangkan Semporna dengan mempamerkan budaya mesra di khalayak ramai. Tanpa segan silu, mereka bercumbu-cumbuan sambil meraba badan pasangan seperti layaknya orang yang sedang naik minyak. Saya yang duduk dalam kereta berhadapan dengan pasangan itu terasa malu. Sekilas, saya lemparkan pandangan mata ke arah lain, kesal hati makin bertambah apabila anak-anak muda tempatan yang berpeleseran di kawasan itu hanya tertawa melihat gelagat pasangan mat salleh itu. Apakah remaja ini akan mengikut jejak langkah pasangan pelancong itu? Suara hati ini mulai bertanya.
Entah di mana silapnya, tiada satupun tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa tempatan. Walaupun kehadiran mereka dialu-alukan, bukan bermakna semua budaya mereka juga boleh dipraktikkan di sini. Semporna masih lagi bertatih untuk menggapai pemodenan. Budaya terhadap tingkah laku, kesopanan dan ketatasusilaan masih lagi dipraktikkan dan menjadi tunjang dalam pembentukan etika setempat. Adakah anda rela anak-anak kita hilang malu, berkawan, berzina yang akhirnya membuang anak seperti yang hebat diperkatakan di dada-dada akhbar? Tolonglah... Dato-Dato, Datin-Datin, YB-YB dan pemimpin Semporna. Bukalah mata, dengarlah dan ambillah tindakan.
Penguatkuasa dari Majlis Ugama Islam Sabah Semporna perlu mengaktifkan diri. Jangan biarkan masalah ini berlarutan. Jika daerah lain banyak membuat tangkapan maksiat, kenapa kita di sini tiada. Seolah-olah semuanya dalam kawalan. Remaja dan dewasa muslim bermabukan keluar kelab di malam tua. Aktiviti persundalan berleluasa di kawasan jajahan orang putih. Jika ini di luar bidang kuasa tuan ustaz dan imam-imam. Siapa lagi yang boleh menghalang kegiatan ini yang berteraskan undang-undang? Setidak-tidaknya perbincangkanlah masalah ini kepada pihak berwajib lain agar budaya kuning yang popular diadaptasi oleh remaja tempatan masa kini dapat dibanteras.
Ibu-ibu dan bapa-bapa. Saya tahu Semporna bukanlah tempat yang hebat untuk mencari rezeki. Bekerja sehari suntuk dalam 30 hari, dapat gaji paling besarpun RM180. Kerja di Giant, kira macam dapat durian runtuh gajinya, RM350 hingga RM450. Itupun kena berebut jugalah sebab ramai sangat penganggur tempatan. Disebabkan itu, kehadiran pelancong ke daerah kita sekurang-kurangnya dapat menambah pendapatan segelintir penduduk tempatan sekaligus menaikkan kadar pendapatan perkapita penduduk setempat walaupun bagi saya cara kira pendapatan perkapita itu tidak adil. Sebabnya, terdapat lebih ramai penduduk yang menggangur dibanding yang bekerja. Namun begitu sebagai ibu bapa yang prihatin, kita haruslah sentiasa mencuri masa walaupun sibuk mencari rezeki dengan memerhatikan anak masing-masing agar tidak terjebak dengan budaya kotor. Sebagai amaran kepada para ibu bapa, banyak kelab hiburan telah dibuka oleh mereka di Semporna. Oleh itu, sediakan payung sebelum hujan jangan tunggu nasi jadi bubur.
Justeru, semua pihak harus bekerjasama. Pemimpin tempatan, pihak penguatkuasa undang-undang dan agama, ibu bapa dan seluruh penduduk Semporna. Jadikanlah masalah sosial sifar di Daerah Semporna ini. Sama seperti kita menjaga kebersihan dengan membuang sampah di tempat yang telah disediakan oleh pihak Majlis Daerah Semporna. Bersama-samalah kita perjuangkan budaya kita yang murni pusaka daripada moyang dahulu kala. Perhebatkanlah budaya keIslaman kita. Kuatkanlah jalinan benang baju kita agar tidak koyak dek anasir luar. Ayuhlah.. Bangkitlah menentang budaya kuning. Pertahankan maruah kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan