Sabtu, 20 Mac 2010

Pengalaman Temuduga Pegawai Pemantau Harga

Assalamualaikum dan selamat sejahtera..

Semalam saya mengikuti temuduga yang entah ke berapapun saya tak ingat sudah. Jawatan yang saya pohon itu adalah sebagai Pegawai Pemantau Harga. Emm…. Sepanjang perjalanan temuduga semalam memang berjalan lancar, alhamdulillah. Soalan yang ditujukan kepada saya semuanya dapat dijawab dengan santai.

Tetapi, pada hari ini tetiba saya merasa gagal pula untuk mendapat pekerjaan itu. Keyakinan saya sudah mulai menurun. Sepanjang temuduga, jawapan saya adalah jujur dan ikhlas. Tidak pernah terlintas di hati mahu menipu sebagaimana yang telah dibuat oleh orang lain sebelum ini. Bahkan ada di kalangan sahabat yang mengajar saya agar menghalalkan ‘tipu sunat’ untuk mendapatkan pekerjaan kerana pekerjaan yang dicari adalah untuk menyambung kehidupan dan bukannya untuk bersenang-lenang. Tetapi saya masih jua berpegang kepada prinsip dan ianya merupakan salah satu kebanggaan yang saya miliki.

Sewaktu saya tengah duduk bersama calon-calon lain, tiba-tiba masuk seorang wanita yang tidak asing di pekan ini bersama seorang anak perempuannya yang juga merupakan calon temuduga pada masa itu. Dengan wajah tanpa segan dan silu, dia asyik memperkenalkan diri dan anaknya kepada urusetia dan sesiapa sahaja yang duduk di depan kaunter KPDNKK.

“ Ini anakku. Dia ikut interview hari ni.”katanya.

“Aik? Kakak tak kerjakah hari ni?” soal Urus Setia Temuduga.

“Nantilah, kak pergi. Kak temankan anak kak ni dulu. Lambat sikitlah baru masuk kerja.”jawabnya lagi.

Tetiba, keluar lagi seorang staf tua dan menyampuk.

“Aik, apa kau buat di sini? Siapa jaga Pos?”

“Nantilah. Sekarang ni aku temankan anakku dulu ni.”sambil menepuk bahu anaknya. Lalu merekapun melebarkan cerita tetapi cukup membingitkan telinga kerana jelas terpasang niat di wajahnya yang ingin mencari ‘cable’ untuk anaknya. Walaupun begitu, semangat saya masih kuat.

Wanita tadi hanyalah salah satu contoh yang saya utarakan. Ada lagi beberapa orang lain juga mempunyai perangai sama dan saya cuba untuk tidak mengendahkannya. Bagi saya, selagi ada kemahuan di situ ada jalan. Saya juga percaya, usaha saya pasti menjadi jika Allah mengizinkan.

Jam 9.30 pagi menjengah. Pada saat ini, seribu satu macam sudah mulai terasa. Perut melagukan irama dasyat tanda saya kelaparan. Apa tidaknya.. Semalam belum makan. Pagi ni, minum teh kosong je. Kuih diabaikan. Macam manalah perut tak berkeroncong. Ada rasa nak buang air kecil pula tu. Kepala saya dah mula kebas. Aduh! Sakitnya... ya Allah, janganlah bagi saya lupa ‘bekalan’ yang saya dapat hasil kajian dari internet semalam. Fikiran saya mulai menjadi bingung. Seolah-olah saya terkena amnesia. Dadapun turut berdebar kencang. Ceh! Iblis laknat. Time ni juga dia nak ganggu. Bedebah punya iblis. Hai apalah nasib... padahal saya dah biasa ikut temuduga. Kenapa pula kali ni lain macam saja rasanya.

Jam dinding terus berputar. Calon Pegawai Pemantau Harga ke-10 yang kontraknya tamat hujung bulan ni dahpun selesai ditemuduga. Akhirnya, nama sayapun dipanggil. Orang pertama? Biar betul.. aduh tensionnya saya.

Seperti biasalah, saya mengetuk pintu dan memberi salam kepada para panel penemuduga dengan senyuman ikhlas selebar mungkin. Mereka menjawab salam dengan serius, senyum acuh tak acuh. Tanpa melengahkan masa, saya terus menyerahkan Kad pengenalan dan sijil asal kepada panel yang duduk di tengah. Sebenarnya, ada tiga panel yang menemuduga pada hari tu. Dengan pantas, panel sebelah kanan mengarahkan saya duduk. Dengan sopan saya menjawab,

“Terima kasih”.

Kelihatan, anak mata panel tengah tu menyemak sijil dengan kusyuk. Mata dua panel yang lain juga turut sibuk memerhati dokumen yang disemak oleh panel tengah tu. Tiba-tiba, aura ketenangan di dalam ruang bilik temuduga dipecahkan oleh suara panel tengah dengan soalannya yang pertama.

“Sila perkenalkan diri anda?”

Dengan lantas saya menjawab nama penuh, umur, sijil akademik tertinggi, status perkahwinan dan jumlah anak.

Sekilas panel tengah tu terkejut.

“Lima anak?”

“ya, lima semuanya. Tetapi semuanya dah besar” jawab saya dengan yakin. Ketiga-tiga panel itu mengangguk-angguk.

Sebenarnya saya cuba mengelak untuk tidak memberitahu bahawa anak saya yang bongsu baru berumur 18 bulan kerana saya memang mahukan kerja itu. Berdasarkan pengalaman saya setelah sekian lama menganggur dan mengikuti temuduga, perkara yang saya anggapkan kegagalan saya adalah suami saya seorang guru dan mempunyai anak yang mereka anggap masih kecil. Tetapi, saya takut membohong dan tiba-tiba, saya kena ‘smash’,

“yang kecil umur berapa?” soal panel tengah tu lagi seperti mahu mengorek rahsia maklumat suspek dengan serius. Ah!.. kena lagi kali ni. Kena lagi... mahu tak mahu, saya terpaksa berterus terang.

“Sebenarnya encik, anak saya yang bongsu berumur setahun setengah.”

“Siapa jaga anak di rumah kamu datang temuduga ni?”

“Mertua saya.” Saya menjawab dengan lemah. Kemudian saya menyambung semula dengan keyakinan tinggi. Pantang berputih mata sebelum berjuang. Ini baru permulaan.

“Tapi encik, walaupun anak saya dikira kecil, saya memang pernah bekerja sebelum ini dan saya mendapati tiada masalah kepada mereka. Lagipun encik, saya betul-betul mahukan pekerjaan ini. Memandangkan umur saya yang dah mencapai 35 tahun. Pada umur ini, peluang untuk mendapat pekerjaan adalah amat tipis sekali.” Sambung saya dengan yakin.

“pernah mohon guru sandaran?”

“pernah tapi gagal temuduga.”

“Emm KPLI?”

“ya pernah dan tahun ni pun saya ada memohon tapi kali ni saya tak berjaya untuk ujian Mtest. Saya sebenarnya kesal juga encik, sebab tahun nilah kali terakhir saya layak memohon tetapi gagal juga.” Jawab saya dengan sedikit sedih. Tapi dalam saya sedikit sedih itu, tiba-tiba panel tengah tu menyangkal pula jawapan saya tu.

“manalah masuk KPLI pakai had umur...”

“iya encik. Kecualilah dasar pendidikan itu diubah.” Panel itu terdiam terpaku tanpa melihat wajah saya yang menjawab dengan penuh yakin. Atau panel itu marah sebab saya menyangkal pendapatnya tak tahulah. Selepas itu, barulah panel tengah tu mengalihkan soalannya ke topik lain.

“Dari universiti mana?” tanyanya. Sayapun jawab je la.

“Kursus ijazah apa yang kamu ambil di sana?”jawab jugalah. Sebab sepatutnya saya memang tahukan. Lagipun soalan ni berkenaan dengan saya. Lepas tu, disambungnya lagi,

“Kursus apa yang telah kamu pelajari di universiti?”

Apa lagi, saya pun menjawab kursus yang paling relevan dengan saya pada saat ini.

“Undang-undang pekerjaan dan peridustrian, undang-undang perniagaan, prinsip pengurusan, pengurusan sumber manusia.” Saya jawab je mana-mana yang saya ingat dan yang paling penting saya boleh menjawab jika ditanya mengenai isu yang berkaitan dengan kursus yang telah diambil. Target saya mengena. Saya akhirnya ditanya mengenai undang-undang pekerjaan dan perindustrian yang memfokuskan Akta Buruh. Wau! Kacang je ni. Sayapun jawablah dengan penuh perhatian.

Kalau dicerita nipun panjang sangat. Sebenarnya soalannya tak adalah membunuh sangat. Sebagai calon, kita harus bersiap sedia dengan perisai yang baik. Pastikan menjawab soalan yang benar-benar pasti bahawa kita boleh menjawab dengan baik. Berdasarkan pengalaman saya, soalan seterusnya adalah kesinambungan daripada jawapan pertama. Sekiranya pada jawapan pertama kita sudah hanyut. Bermakna jawapan seterusnya akan mencekik sampai tersungkur.

Kesimpulannya, temuduga saya berjalan lancar pada hari itu. Hanya saya merasa gagal adalah disebabkan saya telah berkahwin dengan seorang guru yang dianggap tidak mempunyai masalah kewangan dan mempunyai anak yang masih kecil yang memerlukan perhatian seorang ibu sepenuhnya. Walau bagaimanapun, saya telah merayu agar saya diberikan peluang atas sebab-sebab yang munasabah. Selepas ini terpulanglah kepada mereka untuk menilainya.

Sekian, wassalam.

Jumaat, 12 Mac 2010

Berita Harian Online | Masyarakat perlu prihatin elak kes Syafia berulang


Masyarakat perlu prihatin elak kes Syafia berulang


2010/03/05

APABILA membaca Berita Harian, 27 Februari 2010 mengenai kematian, Syafia Humairah Sahari, akibat didera sampai mati, membuatkan saya terfikir di mana letaknya nilai dan sifat keperimanusiaan seseorang itu.

Apakah yang menyebabkan kanak-kanak berusia tiga tahun yang tidak mengenal erti dunia dan tidak berdosa itu didera sehingga menyebabkan kematiannya. Berita sedih itu wajar dijadikan pengajaran kepada semua individu supaya menanam sifat keperimanusiaan dan bertimbang rasa sesama manusia. Jangan kerana marah, kita sanggup menjadi seseorang pembunuh.

Pada pendapat saya, peristiwa ini berlaku kerana kurang didikan agama dan ilmu pengetahuan dalam diri. Kurang didikan agama menyebabkan seseorang itu melakukan perkara yang boleh memudaratkan diri sendiri dan orang lain di sekeliling mereka. Tanpa agama dan ilmu pengetahuan membuatkan seseorang itu tidak berfikiran waras. Masalah ini dapat diatasi jika masyarakat memainkan peranan penting dan tidak mengambil ringan. Masyarakat kurang peka dan prihatin serta memandang ringan masalah penderaan ini dan membuatkan kita lupa sehingga memberi ruang kepada suspek melakukan perbuatan kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Kanak-kanak memerlukan jagaan dan perlindungan keluarga. Sebagai orang dewasa, kita bertanggungjawab menjaga kanak-kanak, bukan menyeksa dan membunuh mereka. Malah, media juga banyak memainkan peranan dan memberi kesedaran dengan mengeluarkan iklan dan pelbagai bentuk penerangan, tetapi mengapa rakyat tidak mengendahkan kes dera ini dan mengambil ringan sehingga berlakunya kematian dan mereka baru menyedarinya dan hakikatnya sudah terlambat.

AFIQAH MIOR KAMARULBAID,

Berita Harian Online | Sistem pengambilan pendidik ketepikan pengalaman mengajar

Berita Harian Online | Sistem pengambilan pendidik ketepikan pengalaman mengajar