Rabu, 22 Disember 2010

Tong Sampah Semporna



Pejabat Majlis Daerah Semporna

Assalamualaikum dan salam satu Malaysia.

Sebelum saya meneruskan bicara ini, saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Natal yang bakal menjelang kepada warga Kristian seluruh dunia dan Selamat Tahun Baru kepada semua. Semoga tahun baru ini membawa tuah dan kegembiraan kepada anda semua. Hari ini, saya ingin bercerita tentang tong sampah Semporna.

Sedang saya menikmati suasana malam di dalam sebuah kereta Kancil yang sedang bergerak , tiba-tiba hati ini bagai digelitik apabila melihat papan iklan Majlis Daerah Semporna yang turut mewar-warkan slogan ‘Saya Anti Kutu Sampah’ sama seperti di daerah lain. Walhal, sampah masih menghiasi jalan-jalan pekan bahkan lebih hebat dari bunga yang ditanam oleh kontraktor Majlis Daerah Semporna masa itu. Di Taman Tong Talun(taman riadah mini pekan) pula, sampahnya ada di merata-rata tempat. Mana pekerja pembersihan ya? tak nampak pun. Patutlah.. dah 11 malam.

Terbaru, Majlis Daerah Semporna mengeluarkan notis menuntut tunggakan cukai pintu di beberapa perumahan. Antara perumahan yang terlibat ialah Taman Sempaul, Taman Miramas, Taman Alizan, Taman Kailah, Taman Heng Loong, Taman Nebung, Taman Cahaya dan Taman Pelangi. Soal itu saya setuju sangat. Lagipun pungutan itu adalah untuk kemudahan yang akan berbalik kepada warga tempatan juga. Ha, bagi penghuni taman perumahan yang disebutkan tadi tu, bayarlah ya. Amaran denda 8% telah diberi. Banyak tu.... kalau setahun kena RM600 + 8% = RM648(nilai cukai pintu tak sama, semakin jauh dari pekan semakin murah menurut Encik Samatang selaku pegawai pemungut cukai)

Apa yang menjengkelkan saya setelah lima tahun menduduki rumah ini, kami di kawasan perumahan ini tidak pernah mendapat tong sampah apa lagi perkhidmatan memungut sampah. Jauh panggang dari api. Apabila saya bertanya kepada Encik Samatang, beliau menyatakan bahawa kawasan saya yang membayar cukai pintu hanya seorang. Oleh kerana penduduk lain belum bayar cukai pintu, tong sampah tidak boleh dibekalkan kepada kami. Kali kedua(masa lain) saya bertanya lagi, jawapannya ialah tong sampah itu belum sampai dari Kota Kinabalu. Apakah muslihat yang cuba kamu mainkan ni Encik Samatang? Cukai pintu jika tak bayar akan dikira sebagai liabiliti(hutang). Jadi, kalau dah kira hutang tu kenalah juga kami rasa perkhidmatannya kan. Ini bermakna saya sebagai pembayar cukai pintu kira rugilah sebab tak merasa faedah daripada pembayaran yang telah dibuat itu.

Sebelum ini, ada juga sebuah tong sampah besar(XXXXXL) diletak lebih kurang 5 meter dari kawasan kediaman kami. Jadi, kami yang berkenderaan mudahlah sikit nak buang sampah. Tiba-tiba sebulan lepas, tong sampah itu pula hilang. Akhirnya, masyarakat kampung berdekatan membuang sampah mereka di tepi jalan tempat bekas tong sampah sebelum ini. Majlis Daerah Semporna, mana sudah tong sampah itu ha? Kenapa kamu suka-suka alih tong sampah. Kerana kamu, masyarakat membuang sampah merata-rata. Parahnya, anjing liar yang berkeliaran menyelongkar lagi sampah tersebut sehingga menjadi cebisan berbau yang menyesakkan hidung.

Tong sampah di pekan juga sering berpindah randah. Kini tong sampah besar bergandingan menetap berhadapan dengan premis MDS iaitu Blok Lepa. Seluruh masyarakat Semporna yang ingin menjaga kebersihan bergantung dengan dua tong tersebut. Biasalah jika penawaran lebih daripada permintaan. Akhirnya tong sampah yang diam di situ penuh dengan sampah sehingga mengotori kawasan sekelilingnya. Tetapi jadual mengangkut untuk membuang sampah berkenaan masih sama. Satu hari satu kali.

Lagi-lagi pasal tong sampah. Agaknya lori pengangkut dah tua tak larat nak angkut sampah, pekerja MDS dapat idea baru. Bakar sampah dalam tong sampah. Kenapa nak bakar sampah dalam tong sampah besar tu di tengah-tengah pekan pada tengahari panas? Asap tebal tu boleh menyebabkan orang yang lalu-lalang sesak nafas. Pada masa yang sama juga boleh menyebabkan barang dagangan peniaga yang berdekatan menjadi hitam. Adui!!! Mimpi apa menyebabkan kamu(MDS) buat begini? Jabatan kesihatan dah bagi luluskah membakar sampah di kawasan ramai orang ni? Carilah kawasan yang lebih jauh untuk bakar sampah tu lain kali ya..

Majlis Daerah Semporna. Seandainya kamu boleh mencontohi daerah luar seperti Tawau dan Lahad Datu, di mana terdapat tong sampah bersaiz sederhana diletakkan di setiap blok bangunan premis untuk memudahkan pengguna tong sampah membuang sampah mereka. Saya yakin, lambat laun slogan yang kamu war-warkan itu pasti berjaya. Walaupun perubahan yang dinanti itu berjalan dengan perlahan tetapi hasilnya pasti akan memuaskan.

Majlis Daerah Semporna, setiap tahun berakhir akan bermula dengan tahun baru. Alangkah baiknya jika tahun 2011 ini hak kami diberikan. Bukan sahaja tong sampah,rerumput di tepi jalan dibersihkan, lampu jalan dinyalakan pada waktu malam dan termasuk pembersihan longkang di bawah pentadiran Majlis Daerah Semporna. Jangan tunggu sumbat dan banjir baru kamu kelam kabut bekerja. Jangan tunggu Datuk Shafiee datang baru menyala lampu jalan dan berpotong rumputnya. Majlis Daerah Semporna, walaupun berbeza darjat dan pangkat dengan pemimpin tempatan namun, kami masih sama sebagai pembayar cukai pintu. Semoga mesej ini sampai kepada kamu dan tidak menganggap ini sebagai negatif. Terima kasih.

Jom kita tengok-tengok gambar di bawah;

Gambar di atas bersebelahan(jarak 2-3 meter sahaja) dengan SK Pekan II, Semporna

Ini adalah sebahagian murid yang terpaksa menhidu bau busuk sampah sepanjang hari persekolahan.

Inilah mangsa Majlis Daerah Semporna. Anak saya yang menuntut di prasekolah sering mengadu bau busuk dan sakit dada. Kepada siapakah kami patut mengadu apabila pihak terbabit tidak mahu melayan aduan kami?

Ahli Jawatankuasa Majlis Daerah Semporna

Saya berharap mereka (MDS) berpegang kepada Piagam Pelanggan mereka ini.


Sabtu, 20 Mac 2010

Pengalaman Temuduga Pegawai Pemantau Harga

Assalamualaikum dan selamat sejahtera..

Semalam saya mengikuti temuduga yang entah ke berapapun saya tak ingat sudah. Jawatan yang saya pohon itu adalah sebagai Pegawai Pemantau Harga. Emm…. Sepanjang perjalanan temuduga semalam memang berjalan lancar, alhamdulillah. Soalan yang ditujukan kepada saya semuanya dapat dijawab dengan santai.

Tetapi, pada hari ini tetiba saya merasa gagal pula untuk mendapat pekerjaan itu. Keyakinan saya sudah mulai menurun. Sepanjang temuduga, jawapan saya adalah jujur dan ikhlas. Tidak pernah terlintas di hati mahu menipu sebagaimana yang telah dibuat oleh orang lain sebelum ini. Bahkan ada di kalangan sahabat yang mengajar saya agar menghalalkan ‘tipu sunat’ untuk mendapatkan pekerjaan kerana pekerjaan yang dicari adalah untuk menyambung kehidupan dan bukannya untuk bersenang-lenang. Tetapi saya masih jua berpegang kepada prinsip dan ianya merupakan salah satu kebanggaan yang saya miliki.

Sewaktu saya tengah duduk bersama calon-calon lain, tiba-tiba masuk seorang wanita yang tidak asing di pekan ini bersama seorang anak perempuannya yang juga merupakan calon temuduga pada masa itu. Dengan wajah tanpa segan dan silu, dia asyik memperkenalkan diri dan anaknya kepada urusetia dan sesiapa sahaja yang duduk di depan kaunter KPDNKK.

“ Ini anakku. Dia ikut interview hari ni.”katanya.

“Aik? Kakak tak kerjakah hari ni?” soal Urus Setia Temuduga.

“Nantilah, kak pergi. Kak temankan anak kak ni dulu. Lambat sikitlah baru masuk kerja.”jawabnya lagi.

Tetiba, keluar lagi seorang staf tua dan menyampuk.

“Aik, apa kau buat di sini? Siapa jaga Pos?”

“Nantilah. Sekarang ni aku temankan anakku dulu ni.”sambil menepuk bahu anaknya. Lalu merekapun melebarkan cerita tetapi cukup membingitkan telinga kerana jelas terpasang niat di wajahnya yang ingin mencari ‘cable’ untuk anaknya. Walaupun begitu, semangat saya masih kuat.

Wanita tadi hanyalah salah satu contoh yang saya utarakan. Ada lagi beberapa orang lain juga mempunyai perangai sama dan saya cuba untuk tidak mengendahkannya. Bagi saya, selagi ada kemahuan di situ ada jalan. Saya juga percaya, usaha saya pasti menjadi jika Allah mengizinkan.

Jam 9.30 pagi menjengah. Pada saat ini, seribu satu macam sudah mulai terasa. Perut melagukan irama dasyat tanda saya kelaparan. Apa tidaknya.. Semalam belum makan. Pagi ni, minum teh kosong je. Kuih diabaikan. Macam manalah perut tak berkeroncong. Ada rasa nak buang air kecil pula tu. Kepala saya dah mula kebas. Aduh! Sakitnya... ya Allah, janganlah bagi saya lupa ‘bekalan’ yang saya dapat hasil kajian dari internet semalam. Fikiran saya mulai menjadi bingung. Seolah-olah saya terkena amnesia. Dadapun turut berdebar kencang. Ceh! Iblis laknat. Time ni juga dia nak ganggu. Bedebah punya iblis. Hai apalah nasib... padahal saya dah biasa ikut temuduga. Kenapa pula kali ni lain macam saja rasanya.

Jam dinding terus berputar. Calon Pegawai Pemantau Harga ke-10 yang kontraknya tamat hujung bulan ni dahpun selesai ditemuduga. Akhirnya, nama sayapun dipanggil. Orang pertama? Biar betul.. aduh tensionnya saya.

Seperti biasalah, saya mengetuk pintu dan memberi salam kepada para panel penemuduga dengan senyuman ikhlas selebar mungkin. Mereka menjawab salam dengan serius, senyum acuh tak acuh. Tanpa melengahkan masa, saya terus menyerahkan Kad pengenalan dan sijil asal kepada panel yang duduk di tengah. Sebenarnya, ada tiga panel yang menemuduga pada hari tu. Dengan pantas, panel sebelah kanan mengarahkan saya duduk. Dengan sopan saya menjawab,

“Terima kasih”.

Kelihatan, anak mata panel tengah tu menyemak sijil dengan kusyuk. Mata dua panel yang lain juga turut sibuk memerhati dokumen yang disemak oleh panel tengah tu. Tiba-tiba, aura ketenangan di dalam ruang bilik temuduga dipecahkan oleh suara panel tengah dengan soalannya yang pertama.

“Sila perkenalkan diri anda?”

Dengan lantas saya menjawab nama penuh, umur, sijil akademik tertinggi, status perkahwinan dan jumlah anak.

Sekilas panel tengah tu terkejut.

“Lima anak?”

“ya, lima semuanya. Tetapi semuanya dah besar” jawab saya dengan yakin. Ketiga-tiga panel itu mengangguk-angguk.

Sebenarnya saya cuba mengelak untuk tidak memberitahu bahawa anak saya yang bongsu baru berumur 18 bulan kerana saya memang mahukan kerja itu. Berdasarkan pengalaman saya setelah sekian lama menganggur dan mengikuti temuduga, perkara yang saya anggapkan kegagalan saya adalah suami saya seorang guru dan mempunyai anak yang mereka anggap masih kecil. Tetapi, saya takut membohong dan tiba-tiba, saya kena ‘smash’,

“yang kecil umur berapa?” soal panel tengah tu lagi seperti mahu mengorek rahsia maklumat suspek dengan serius. Ah!.. kena lagi kali ni. Kena lagi... mahu tak mahu, saya terpaksa berterus terang.

“Sebenarnya encik, anak saya yang bongsu berumur setahun setengah.”

“Siapa jaga anak di rumah kamu datang temuduga ni?”

“Mertua saya.” Saya menjawab dengan lemah. Kemudian saya menyambung semula dengan keyakinan tinggi. Pantang berputih mata sebelum berjuang. Ini baru permulaan.

“Tapi encik, walaupun anak saya dikira kecil, saya memang pernah bekerja sebelum ini dan saya mendapati tiada masalah kepada mereka. Lagipun encik, saya betul-betul mahukan pekerjaan ini. Memandangkan umur saya yang dah mencapai 35 tahun. Pada umur ini, peluang untuk mendapat pekerjaan adalah amat tipis sekali.” Sambung saya dengan yakin.

“pernah mohon guru sandaran?”

“pernah tapi gagal temuduga.”

“Emm KPLI?”

“ya pernah dan tahun ni pun saya ada memohon tapi kali ni saya tak berjaya untuk ujian Mtest. Saya sebenarnya kesal juga encik, sebab tahun nilah kali terakhir saya layak memohon tetapi gagal juga.” Jawab saya dengan sedikit sedih. Tapi dalam saya sedikit sedih itu, tiba-tiba panel tengah tu menyangkal pula jawapan saya tu.

“manalah masuk KPLI pakai had umur...”

“iya encik. Kecualilah dasar pendidikan itu diubah.” Panel itu terdiam terpaku tanpa melihat wajah saya yang menjawab dengan penuh yakin. Atau panel itu marah sebab saya menyangkal pendapatnya tak tahulah. Selepas itu, barulah panel tengah tu mengalihkan soalannya ke topik lain.

“Dari universiti mana?” tanyanya. Sayapun jawab je la.

“Kursus ijazah apa yang kamu ambil di sana?”jawab jugalah. Sebab sepatutnya saya memang tahukan. Lagipun soalan ni berkenaan dengan saya. Lepas tu, disambungnya lagi,

“Kursus apa yang telah kamu pelajari di universiti?”

Apa lagi, saya pun menjawab kursus yang paling relevan dengan saya pada saat ini.

“Undang-undang pekerjaan dan peridustrian, undang-undang perniagaan, prinsip pengurusan, pengurusan sumber manusia.” Saya jawab je mana-mana yang saya ingat dan yang paling penting saya boleh menjawab jika ditanya mengenai isu yang berkaitan dengan kursus yang telah diambil. Target saya mengena. Saya akhirnya ditanya mengenai undang-undang pekerjaan dan perindustrian yang memfokuskan Akta Buruh. Wau! Kacang je ni. Sayapun jawablah dengan penuh perhatian.

Kalau dicerita nipun panjang sangat. Sebenarnya soalannya tak adalah membunuh sangat. Sebagai calon, kita harus bersiap sedia dengan perisai yang baik. Pastikan menjawab soalan yang benar-benar pasti bahawa kita boleh menjawab dengan baik. Berdasarkan pengalaman saya, soalan seterusnya adalah kesinambungan daripada jawapan pertama. Sekiranya pada jawapan pertama kita sudah hanyut. Bermakna jawapan seterusnya akan mencekik sampai tersungkur.

Kesimpulannya, temuduga saya berjalan lancar pada hari itu. Hanya saya merasa gagal adalah disebabkan saya telah berkahwin dengan seorang guru yang dianggap tidak mempunyai masalah kewangan dan mempunyai anak yang masih kecil yang memerlukan perhatian seorang ibu sepenuhnya. Walau bagaimanapun, saya telah merayu agar saya diberikan peluang atas sebab-sebab yang munasabah. Selepas ini terpulanglah kepada mereka untuk menilainya.

Sekian, wassalam.

Jumaat, 12 Mac 2010

Berita Harian Online | Masyarakat perlu prihatin elak kes Syafia berulang


Masyarakat perlu prihatin elak kes Syafia berulang


2010/03/05

APABILA membaca Berita Harian, 27 Februari 2010 mengenai kematian, Syafia Humairah Sahari, akibat didera sampai mati, membuatkan saya terfikir di mana letaknya nilai dan sifat keperimanusiaan seseorang itu.

Apakah yang menyebabkan kanak-kanak berusia tiga tahun yang tidak mengenal erti dunia dan tidak berdosa itu didera sehingga menyebabkan kematiannya. Berita sedih itu wajar dijadikan pengajaran kepada semua individu supaya menanam sifat keperimanusiaan dan bertimbang rasa sesama manusia. Jangan kerana marah, kita sanggup menjadi seseorang pembunuh.

Pada pendapat saya, peristiwa ini berlaku kerana kurang didikan agama dan ilmu pengetahuan dalam diri. Kurang didikan agama menyebabkan seseorang itu melakukan perkara yang boleh memudaratkan diri sendiri dan orang lain di sekeliling mereka. Tanpa agama dan ilmu pengetahuan membuatkan seseorang itu tidak berfikiran waras. Masalah ini dapat diatasi jika masyarakat memainkan peranan penting dan tidak mengambil ringan. Masyarakat kurang peka dan prihatin serta memandang ringan masalah penderaan ini dan membuatkan kita lupa sehingga memberi ruang kepada suspek melakukan perbuatan kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Kanak-kanak memerlukan jagaan dan perlindungan keluarga. Sebagai orang dewasa, kita bertanggungjawab menjaga kanak-kanak, bukan menyeksa dan membunuh mereka. Malah, media juga banyak memainkan peranan dan memberi kesedaran dengan mengeluarkan iklan dan pelbagai bentuk penerangan, tetapi mengapa rakyat tidak mengendahkan kes dera ini dan mengambil ringan sehingga berlakunya kematian dan mereka baru menyedarinya dan hakikatnya sudah terlambat.

AFIQAH MIOR KAMARULBAID,

Berita Harian Online | Sistem pengambilan pendidik ketepikan pengalaman mengajar

Berita Harian Online | Sistem pengambilan pendidik ketepikan pengalaman mengajar

Khamis, 17 Disember 2009

Kampung Air Tengah Terbakar


Assalamualaikum semua dan salam satu Malaysia..

Bertemu lagi kita di episod baru pada hari ini dan sebelum tu, saya nak ucap selamat menyambut tahun baru eh eh… selamat menyambut awal muharram yang akan menjelang pada esok hari he he…

Hari ini saya nak cerita pasal kebakaran yang telah berlaku pada hari Selasa 15 Disember 2009. Lokasinya di Kg. Air Tengah Semporna, Sabah. Sepanjang saya 15 tahun menetap di Semporna, ini adalah kebakaran besar kedua yang pernah saya saksikan selepas Kg. Bangau-Bangau. Fuh! Dasyatnya…….








Setakat hari ini, khabar angin dari pemuda UMNO Semporna yang menjalankan aktiviti memungut derma memberitahu, jumlah rumah yang terbakar melebihi 30 buah rumah. Daripada 30 lebih buah rumah terbakar itu, 116 buah keluarga kehilangan tempat tinggal. Bahagian yang paling menyedihkan sekali, terdapat 4 korban kanak-kanak rentung dan semuanya adalah bersaudara. Sebenarnya terselit satu kisah menyayat hati di sebalik kebakaran ini. Hasil mesyuarat tingkap, mangsa rentung adalah berumur dari 2, 3, 4 dan 12 tahun.

Semasa kejadian, pintu mereka dikunci dari luar sehinggakan api yang merakus dan panas itu menghalang orang ramai dari menyelamatkan mereka. Khabar angin juga mengatakan bahawa bapa mereka sengaja mengunci pintu dari luar kerana khuatir akan keselamatan mereka memandangkan rumah sewa(seakan rumah kongsi) atas air. Si bapa sebenarnya merancang hanya keluar sekejap untuk melawat isteri yang baru bersalin di hospital. Tetapi malang tidak berbau, perginya yang tidak lama itu telah meragut keempat-empat anaknya.

Berikut adalah foto mengenai kesibukan semasa kejadian;



Dalam kesibukan itu, ada mata yang sedang memerhatikan keuntungan di sebalik kesusahan orang lain. Nantikan saya di mesyuarat tingkap yang berikutnya.

Bagi para pembaca yang kasihan tu, kalau tak dapat derma material kepada mangsa kebakaran, sekurang-kurangnya kirimkanlah surah Al-Fatihah kepada mangsa. Semoga Allah S.W.T membalas kebaikan anda. Amin...


Wassalam...


Bayi Rentung Semasa Kejadian



Sabtu, 10 Oktober 2009

Kereta Pengetua Dibakar Dua Kali


Hai! hai! hai! salam satu Malaysia,
Assalamualaikum dan salam sejahtera;
saya ucapkan pembuka kata,
yang sudi bacalah yang tak nak takpa....

Hari ni ada alkisah baru yang nak saya sampaikan, che wah... macam mesyuarat tingkaplah pula(eh! betul lah kan). Tapi cerita ni benar-benar berlaku.
Kisahnya bermula khamis lalu(08/10/09), seorang pengetua yang bertugas di SMK Bum-Bum Semporna ditimpa musibah yang mana kereta yang dipakainya dibakar buat kali kedua. Kali pertama( tak ingat tarikhnya tetapi rasanya tak sampai 2 bulan) dibakar di depan KFC Semporna.

Part yang paling kasihan, ansuran bulanan kereta kena bayar, kereta yang dibayar dah takda. Lepas tu, pinjam kereta orang pun kena bakar juga. Apalah punya nasib. Nekad betul juga orang tu. Apalah agaknya kata pelancong asing yang lalu-lalang dekat situ. Mesti dorang dah khabarkan kawan dan sanak saudara mereka yang belum ke Semporna dengan perkataan 'bahaya....' 'sini masih tak selamat...' dan macam-macam lagilah.

Persoalannya, kenapa orang tu sanggup membakar kereta pengetua ya? Dengar khabar, pengetua tu baguuuus orangnya.... ermm.. kalau saya ni Superman, sudah pasti saya dapat tangkap pelakunya(ehem! perasannya saya). Biar apapun, situasi ini telah mencabar kewibawaan pasukan polis Semporna untuk mencari dan menyelesaikan kes ini.

Akhir sekali, ingat-ingatlah semua,
kerana mulut badan binasa;
teguran manis disalah sangka,
diam tak berespon kena marah pula...


babaiiii....