Sabtu, 20 Mac 2010

Pengalaman Temuduga Pegawai Pemantau Harga

Assalamualaikum dan selamat sejahtera..

Semalam saya mengikuti temuduga yang entah ke berapapun saya tak ingat sudah. Jawatan yang saya pohon itu adalah sebagai Pegawai Pemantau Harga. Emm…. Sepanjang perjalanan temuduga semalam memang berjalan lancar, alhamdulillah. Soalan yang ditujukan kepada saya semuanya dapat dijawab dengan santai.

Tetapi, pada hari ini tetiba saya merasa gagal pula untuk mendapat pekerjaan itu. Keyakinan saya sudah mulai menurun. Sepanjang temuduga, jawapan saya adalah jujur dan ikhlas. Tidak pernah terlintas di hati mahu menipu sebagaimana yang telah dibuat oleh orang lain sebelum ini. Bahkan ada di kalangan sahabat yang mengajar saya agar menghalalkan ‘tipu sunat’ untuk mendapatkan pekerjaan kerana pekerjaan yang dicari adalah untuk menyambung kehidupan dan bukannya untuk bersenang-lenang. Tetapi saya masih jua berpegang kepada prinsip dan ianya merupakan salah satu kebanggaan yang saya miliki.

Sewaktu saya tengah duduk bersama calon-calon lain, tiba-tiba masuk seorang wanita yang tidak asing di pekan ini bersama seorang anak perempuannya yang juga merupakan calon temuduga pada masa itu. Dengan wajah tanpa segan dan silu, dia asyik memperkenalkan diri dan anaknya kepada urusetia dan sesiapa sahaja yang duduk di depan kaunter KPDNKK.

“ Ini anakku. Dia ikut interview hari ni.”katanya.

“Aik? Kakak tak kerjakah hari ni?” soal Urus Setia Temuduga.

“Nantilah, kak pergi. Kak temankan anak kak ni dulu. Lambat sikitlah baru masuk kerja.”jawabnya lagi.

Tetiba, keluar lagi seorang staf tua dan menyampuk.

“Aik, apa kau buat di sini? Siapa jaga Pos?”

“Nantilah. Sekarang ni aku temankan anakku dulu ni.”sambil menepuk bahu anaknya. Lalu merekapun melebarkan cerita tetapi cukup membingitkan telinga kerana jelas terpasang niat di wajahnya yang ingin mencari ‘cable’ untuk anaknya. Walaupun begitu, semangat saya masih kuat.

Wanita tadi hanyalah salah satu contoh yang saya utarakan. Ada lagi beberapa orang lain juga mempunyai perangai sama dan saya cuba untuk tidak mengendahkannya. Bagi saya, selagi ada kemahuan di situ ada jalan. Saya juga percaya, usaha saya pasti menjadi jika Allah mengizinkan.

Jam 9.30 pagi menjengah. Pada saat ini, seribu satu macam sudah mulai terasa. Perut melagukan irama dasyat tanda saya kelaparan. Apa tidaknya.. Semalam belum makan. Pagi ni, minum teh kosong je. Kuih diabaikan. Macam manalah perut tak berkeroncong. Ada rasa nak buang air kecil pula tu. Kepala saya dah mula kebas. Aduh! Sakitnya... ya Allah, janganlah bagi saya lupa ‘bekalan’ yang saya dapat hasil kajian dari internet semalam. Fikiran saya mulai menjadi bingung. Seolah-olah saya terkena amnesia. Dadapun turut berdebar kencang. Ceh! Iblis laknat. Time ni juga dia nak ganggu. Bedebah punya iblis. Hai apalah nasib... padahal saya dah biasa ikut temuduga. Kenapa pula kali ni lain macam saja rasanya.

Jam dinding terus berputar. Calon Pegawai Pemantau Harga ke-10 yang kontraknya tamat hujung bulan ni dahpun selesai ditemuduga. Akhirnya, nama sayapun dipanggil. Orang pertama? Biar betul.. aduh tensionnya saya.

Seperti biasalah, saya mengetuk pintu dan memberi salam kepada para panel penemuduga dengan senyuman ikhlas selebar mungkin. Mereka menjawab salam dengan serius, senyum acuh tak acuh. Tanpa melengahkan masa, saya terus menyerahkan Kad pengenalan dan sijil asal kepada panel yang duduk di tengah. Sebenarnya, ada tiga panel yang menemuduga pada hari tu. Dengan pantas, panel sebelah kanan mengarahkan saya duduk. Dengan sopan saya menjawab,

“Terima kasih”.

Kelihatan, anak mata panel tengah tu menyemak sijil dengan kusyuk. Mata dua panel yang lain juga turut sibuk memerhati dokumen yang disemak oleh panel tengah tu. Tiba-tiba, aura ketenangan di dalam ruang bilik temuduga dipecahkan oleh suara panel tengah dengan soalannya yang pertama.

“Sila perkenalkan diri anda?”

Dengan lantas saya menjawab nama penuh, umur, sijil akademik tertinggi, status perkahwinan dan jumlah anak.

Sekilas panel tengah tu terkejut.

“Lima anak?”

“ya, lima semuanya. Tetapi semuanya dah besar” jawab saya dengan yakin. Ketiga-tiga panel itu mengangguk-angguk.

Sebenarnya saya cuba mengelak untuk tidak memberitahu bahawa anak saya yang bongsu baru berumur 18 bulan kerana saya memang mahukan kerja itu. Berdasarkan pengalaman saya setelah sekian lama menganggur dan mengikuti temuduga, perkara yang saya anggapkan kegagalan saya adalah suami saya seorang guru dan mempunyai anak yang mereka anggap masih kecil. Tetapi, saya takut membohong dan tiba-tiba, saya kena ‘smash’,

“yang kecil umur berapa?” soal panel tengah tu lagi seperti mahu mengorek rahsia maklumat suspek dengan serius. Ah!.. kena lagi kali ni. Kena lagi... mahu tak mahu, saya terpaksa berterus terang.

“Sebenarnya encik, anak saya yang bongsu berumur setahun setengah.”

“Siapa jaga anak di rumah kamu datang temuduga ni?”

“Mertua saya.” Saya menjawab dengan lemah. Kemudian saya menyambung semula dengan keyakinan tinggi. Pantang berputih mata sebelum berjuang. Ini baru permulaan.

“Tapi encik, walaupun anak saya dikira kecil, saya memang pernah bekerja sebelum ini dan saya mendapati tiada masalah kepada mereka. Lagipun encik, saya betul-betul mahukan pekerjaan ini. Memandangkan umur saya yang dah mencapai 35 tahun. Pada umur ini, peluang untuk mendapat pekerjaan adalah amat tipis sekali.” Sambung saya dengan yakin.

“pernah mohon guru sandaran?”

“pernah tapi gagal temuduga.”

“Emm KPLI?”

“ya pernah dan tahun ni pun saya ada memohon tapi kali ni saya tak berjaya untuk ujian Mtest. Saya sebenarnya kesal juga encik, sebab tahun nilah kali terakhir saya layak memohon tetapi gagal juga.” Jawab saya dengan sedikit sedih. Tapi dalam saya sedikit sedih itu, tiba-tiba panel tengah tu menyangkal pula jawapan saya tu.

“manalah masuk KPLI pakai had umur...”

“iya encik. Kecualilah dasar pendidikan itu diubah.” Panel itu terdiam terpaku tanpa melihat wajah saya yang menjawab dengan penuh yakin. Atau panel itu marah sebab saya menyangkal pendapatnya tak tahulah. Selepas itu, barulah panel tengah tu mengalihkan soalannya ke topik lain.

“Dari universiti mana?” tanyanya. Sayapun jawab je la.

“Kursus ijazah apa yang kamu ambil di sana?”jawab jugalah. Sebab sepatutnya saya memang tahukan. Lagipun soalan ni berkenaan dengan saya. Lepas tu, disambungnya lagi,

“Kursus apa yang telah kamu pelajari di universiti?”

Apa lagi, saya pun menjawab kursus yang paling relevan dengan saya pada saat ini.

“Undang-undang pekerjaan dan peridustrian, undang-undang perniagaan, prinsip pengurusan, pengurusan sumber manusia.” Saya jawab je mana-mana yang saya ingat dan yang paling penting saya boleh menjawab jika ditanya mengenai isu yang berkaitan dengan kursus yang telah diambil. Target saya mengena. Saya akhirnya ditanya mengenai undang-undang pekerjaan dan perindustrian yang memfokuskan Akta Buruh. Wau! Kacang je ni. Sayapun jawablah dengan penuh perhatian.

Kalau dicerita nipun panjang sangat. Sebenarnya soalannya tak adalah membunuh sangat. Sebagai calon, kita harus bersiap sedia dengan perisai yang baik. Pastikan menjawab soalan yang benar-benar pasti bahawa kita boleh menjawab dengan baik. Berdasarkan pengalaman saya, soalan seterusnya adalah kesinambungan daripada jawapan pertama. Sekiranya pada jawapan pertama kita sudah hanyut. Bermakna jawapan seterusnya akan mencekik sampai tersungkur.

Kesimpulannya, temuduga saya berjalan lancar pada hari itu. Hanya saya merasa gagal adalah disebabkan saya telah berkahwin dengan seorang guru yang dianggap tidak mempunyai masalah kewangan dan mempunyai anak yang masih kecil yang memerlukan perhatian seorang ibu sepenuhnya. Walau bagaimanapun, saya telah merayu agar saya diberikan peluang atas sebab-sebab yang munasabah. Selepas ini terpulanglah kepada mereka untuk menilainya.

Sekian, wassalam.

Jumaat, 12 Mac 2010

Berita Harian Online | Masyarakat perlu prihatin elak kes Syafia berulang


Masyarakat perlu prihatin elak kes Syafia berulang


2010/03/05

APABILA membaca Berita Harian, 27 Februari 2010 mengenai kematian, Syafia Humairah Sahari, akibat didera sampai mati, membuatkan saya terfikir di mana letaknya nilai dan sifat keperimanusiaan seseorang itu.

Apakah yang menyebabkan kanak-kanak berusia tiga tahun yang tidak mengenal erti dunia dan tidak berdosa itu didera sehingga menyebabkan kematiannya. Berita sedih itu wajar dijadikan pengajaran kepada semua individu supaya menanam sifat keperimanusiaan dan bertimbang rasa sesama manusia. Jangan kerana marah, kita sanggup menjadi seseorang pembunuh.

Pada pendapat saya, peristiwa ini berlaku kerana kurang didikan agama dan ilmu pengetahuan dalam diri. Kurang didikan agama menyebabkan seseorang itu melakukan perkara yang boleh memudaratkan diri sendiri dan orang lain di sekeliling mereka. Tanpa agama dan ilmu pengetahuan membuatkan seseorang itu tidak berfikiran waras. Masalah ini dapat diatasi jika masyarakat memainkan peranan penting dan tidak mengambil ringan. Masyarakat kurang peka dan prihatin serta memandang ringan masalah penderaan ini dan membuatkan kita lupa sehingga memberi ruang kepada suspek melakukan perbuatan kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Kanak-kanak memerlukan jagaan dan perlindungan keluarga. Sebagai orang dewasa, kita bertanggungjawab menjaga kanak-kanak, bukan menyeksa dan membunuh mereka. Malah, media juga banyak memainkan peranan dan memberi kesedaran dengan mengeluarkan iklan dan pelbagai bentuk penerangan, tetapi mengapa rakyat tidak mengendahkan kes dera ini dan mengambil ringan sehingga berlakunya kematian dan mereka baru menyedarinya dan hakikatnya sudah terlambat.

AFIQAH MIOR KAMARULBAID,

Berita Harian Online | Sistem pengambilan pendidik ketepikan pengalaman mengajar

Berita Harian Online | Sistem pengambilan pendidik ketepikan pengalaman mengajar

Khamis, 17 Disember 2009

Kampung Air Tengah Terbakar


Assalamualaikum semua dan salam satu Malaysia..

Bertemu lagi kita di episod baru pada hari ini dan sebelum tu, saya nak ucap selamat menyambut tahun baru eh eh… selamat menyambut awal muharram yang akan menjelang pada esok hari he he…

Hari ini saya nak cerita pasal kebakaran yang telah berlaku pada hari Selasa 15 Disember 2009. Lokasinya di Kg. Air Tengah Semporna, Sabah. Sepanjang saya 15 tahun menetap di Semporna, ini adalah kebakaran besar kedua yang pernah saya saksikan selepas Kg. Bangau-Bangau. Fuh! Dasyatnya…….








Setakat hari ini, khabar angin dari pemuda UMNO Semporna yang menjalankan aktiviti memungut derma memberitahu, jumlah rumah yang terbakar melebihi 30 buah rumah. Daripada 30 lebih buah rumah terbakar itu, 116 buah keluarga kehilangan tempat tinggal. Bahagian yang paling menyedihkan sekali, terdapat 4 korban kanak-kanak rentung dan semuanya adalah bersaudara. Sebenarnya terselit satu kisah menyayat hati di sebalik kebakaran ini. Hasil mesyuarat tingkap, mangsa rentung adalah berumur dari 2, 3, 4 dan 12 tahun.

Semasa kejadian, pintu mereka dikunci dari luar sehinggakan api yang merakus dan panas itu menghalang orang ramai dari menyelamatkan mereka. Khabar angin juga mengatakan bahawa bapa mereka sengaja mengunci pintu dari luar kerana khuatir akan keselamatan mereka memandangkan rumah sewa(seakan rumah kongsi) atas air. Si bapa sebenarnya merancang hanya keluar sekejap untuk melawat isteri yang baru bersalin di hospital. Tetapi malang tidak berbau, perginya yang tidak lama itu telah meragut keempat-empat anaknya.

Berikut adalah foto mengenai kesibukan semasa kejadian;



Dalam kesibukan itu, ada mata yang sedang memerhatikan keuntungan di sebalik kesusahan orang lain. Nantikan saya di mesyuarat tingkap yang berikutnya.

Bagi para pembaca yang kasihan tu, kalau tak dapat derma material kepada mangsa kebakaran, sekurang-kurangnya kirimkanlah surah Al-Fatihah kepada mangsa. Semoga Allah S.W.T membalas kebaikan anda. Amin...


Wassalam...


Bayi Rentung Semasa Kejadian



Sabtu, 10 Oktober 2009

Kereta Pengetua Dibakar Dua Kali


Hai! hai! hai! salam satu Malaysia,
Assalamualaikum dan salam sejahtera;
saya ucapkan pembuka kata,
yang sudi bacalah yang tak nak takpa....

Hari ni ada alkisah baru yang nak saya sampaikan, che wah... macam mesyuarat tingkaplah pula(eh! betul lah kan). Tapi cerita ni benar-benar berlaku.
Kisahnya bermula khamis lalu(08/10/09), seorang pengetua yang bertugas di SMK Bum-Bum Semporna ditimpa musibah yang mana kereta yang dipakainya dibakar buat kali kedua. Kali pertama( tak ingat tarikhnya tetapi rasanya tak sampai 2 bulan) dibakar di depan KFC Semporna.

Part yang paling kasihan, ansuran bulanan kereta kena bayar, kereta yang dibayar dah takda. Lepas tu, pinjam kereta orang pun kena bakar juga. Apalah punya nasib. Nekad betul juga orang tu. Apalah agaknya kata pelancong asing yang lalu-lalang dekat situ. Mesti dorang dah khabarkan kawan dan sanak saudara mereka yang belum ke Semporna dengan perkataan 'bahaya....' 'sini masih tak selamat...' dan macam-macam lagilah.

Persoalannya, kenapa orang tu sanggup membakar kereta pengetua ya? Dengar khabar, pengetua tu baguuuus orangnya.... ermm.. kalau saya ni Superman, sudah pasti saya dapat tangkap pelakunya(ehem! perasannya saya). Biar apapun, situasi ini telah mencabar kewibawaan pasukan polis Semporna untuk mencari dan menyelesaikan kes ini.

Akhir sekali, ingat-ingatlah semua,
kerana mulut badan binasa;
teguran manis disalah sangka,
diam tak berespon kena marah pula...


babaiiii....



Rabu, 12 Ogos 2009

Pasal Influenza A H1N1


Huh!... tempat saya heboh pasal A H1N1. Sebenarnya ramai yang tak faham apa benda tu, yang mereka tahu hanya bahayanya saja. sehinggakan mask yang dulunya banyak di kedai-kedai, habis dijual macam pisang goreng panas.

Apa yang mengecewakan saya, sebahagian pengguna mengguna mask bukannya untuk tujuan melindungi diri daripada terkena jangkitan tetapi sebaliknya, ianya diguna untuk tujuan berfesyen. Ha ha ha! Bagaikan hati saya digeletek, lucu rasanya. Anak-anak sayapun tidak terkecuali terkena sindrom ini. Senang-senang saja mereka beli dan pakai.

Sebelum berlaku wabak yang mengganas pada hari ini, klinik-klinik swasta di sini menjual sekeping mask lebih kurang 0.70 sen hingga 0.80 sen. Tapi sekarang ni dah naik harga. Kenaikannya antara 0.30 sen hingga 0.70 sen menjadikannya RM1 hingga ke RM1.50. Tak tahulah siapa pula yang cuba ambil kesempatan dalam kesempitan ni. Sama ada pengeluar masknyakah? Pembekal? Atau penjual akhir? Walau apapun, inilah realiti trend masa sekarang. Sama-samalah kita menonton kisah lucuh dan seram ini....

Sebenarnya, cerita Demam Virus Influenza A(H1N1) macam ni...
(Dipetik dari laman web Kementerian Penerangan Malaysia)

Demam Virus Influenza A (H1N1) adalah sejenis penyakit sistem pernafasan (respiratory) yang biasanya ditemui dalam kawanan babi. Virus Influenza A (H1N1) atau demam babi ini biasanya berlegar dalam spesies babi sahaja dan tidak menjangkiti manusia. Namun jangkitan terhadap manusia telah berlaku dan penyebaran virus ini dalam kalangan manusia telah mula dikesan sejak tahun 1988.

Virus Influenza A (H1N1) adalah sejenis penyakit respiratory yang ditemui dalam kawanan babi disebabkan oleh virus influenza jenis A (H1N1). Selesema babi ini dikesan saban tahun dan biasanya terjadinya kepada mereka yang mempunyai kaitan dengan babi. Manusia biasanya tidak dijangkiti oleh virus ini tetapi jangkitan terhadap manusia telah dikesan. Virus selesema babi telah dilaporkan merebak dari manusia ke manusia lain. Tetapi pada masa lepas, pemindahan virus ini adalah terhad dan menjangkiti sehingga tiga orang sahaja.


Tanda-tanda Influenza A (H1N1)

Simptom Virus Influenza A (H1N1) ini terhadap manusia adalah sama dengan simptom selesema biasa seperti demam, batuk, sakit tekak, sakit badan, pening kepala, sejuk dan kelesuan. Ada juga sesetengah kes cirit-birit dan muntah yang berkait dengan selesema burung yang dilaporkan.

Pada masa yang lepas, beberapa penyakit (kegagalan paru-paru dan sistem pernafasan) dan kematian telah dilaporkan dengan jangkitan selesema babi dalam manusia. Seperti virus selesema bermusim, selesema babi boleh menyebabkan keadaan kesihatan kronik.


Bagaimanakah Seseorang Yang Dijangkiti Selesema Menjangkiti Seorang Lain?

Seseorang yang dijangkiti mungkin boleh menjangkiti seorang lain bermula sehari sebelum simptom itu merebak hingga ke hari ke-7 selepas dijangkiti (sakit). Ini bermakna kita mungkin boleh menyebarkan virus ini sebelum mengetahui yang kita telah dijangkiti.


Apa Yang Perlu Dilakukan Untuk Mengelak Daripada Dijangkiti Selesema?

Perkara yang terpenting sekali adalah membasuh tangan. Cuba untuk berada pada tahap yang paling sihat. Dapatkan tidur yang cukup. Sentiasa aktif, menangani tekanan, minum banyak air dan makan makanan berkhasiat. Cuba mengelak dari menyentuh tempat yang dicemari dengan virus. Mengelak hubungan dengan mereka yang sakit.


Adakah Terdapat Ubat Untuk Virus Influenza A (H1N1) Ini?

CDC menyarankan pengambilan ubat seperti oseltamivir atau zanamivir untuk merawat dan/atau mencegah jangkitan virus selesema babi ini. Ubat antiviral adalah ubat-ubatan berpreskripsi (pil, cecair ataupun ubat sedut) yang melawan virus dari terus membiak di dalam badan anda.

Jika anda jatuh sakit, ubat antiviral akan dapat melegakan dan membuat anda sihat dengan lebih cepat. Ia juga dapat mencegah dari komplikasi selesema yang lebih serius. . Untuk tujuan rawatan, ubat antiviral adalah lebih berkesan untuk diambil sebaik sahaja jatuh sakit (dalam dua hari selepas simptom).


Berapa Lama yang Diambil oleh Seseorang yang Dijangkiti dengan Selesema Burung Untuk Menyebarkan Kepada Orang Lain?

Mereka yang dijangkiti dengan virus ini boleh dikira sebagai pembawa virus selagi mereka di dalam simptom sehingga tujuh hari dari bermula sakit. Kanak-kanak, terutama anak-anak kecil berpotensi untuk dijangkiti untuk jangka masa yang lebih lama.


Apakah Kawasan-kawasan Yang Berkemungkinan Sebagai Tempat Yang Dicemari?

Kuman boleh merebak apabila seseorang menyentuh sesuatu yang dicemari dengan kuman dan menyentuh pula mata, mulut dan hidung mereka. Titisan rembesan dari batuk dan bersin dari mereka yang dijangkiti boleh bergerak melalui udara. Kuman boleh merebak apabila seseorang itu menyentuh titisan rembesan batuk dan bersin dari seorang di atas permukaan seperti meja dan permukaan lain dan menyentuh mata, mulut dan hidung sebelum membasuh tangan mereka.


Berapa Lama Virus Tersebut Boleh Hidup Di Luar Badan?

Seperti yang diketahui sesetengah virus dan dapat hidup sehingga lebih dua jam di permukaan seperti meja kafeteria, tombol pintu dan meja. Membasuh tangan dengan kerap akan mengurangkan kesan pencemaran yang didapati dari permukaan-permukaan ini.


Apa Yang Boleh Dilakukan Untuk Mengelak Daripada Dihinggapi Penyakit?

Buat masa ini belum lagi ada sebarang vaksin untuk melindungi dari selesema babi ini. Terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk membantu menghalang penyebaran kuman yang menyebabkan penyakit pernafasan seperti demam selesema. Cubalah langkah-langkah ini untuk melindungi kesihatan anda:


  • Tutup/lindung mulut dan hidung anda dengan tisu sewaktu bersin atau batuk. Buangkan tisu tersebut ke dalam tong sampah selepas menggunakannya.

  • Basuhlah tangan dengan sabun dan air dengan kerap terutamanya selepas batuk atau selesema. Pembersih tangan berasaskan alcohol juga berkesan.

  • Mengelak dari menyentuh mata, hidung dan mulut. Kuman boleh merebak dengan cara ini.

  • Jika anda sakit akibat demam selesema, disyorkan supaya anda tidak bekerja atau ke sekolah juga mengehadkan pergaulan dengan orang lain supaya mereka tidak dijangkiti.

Apakah Cara Terbaik Untuk Mengelak Dari Menyebarkan Virus Melalui Batuk Dan Bersin?

• Jika anda sakit, hadkan pergaulan anda sebaik yang mungkin.
• Jangan pergi ke sekolah;
• Tutup mulut anda dengan tisu semasa batuk dan bersin. Ia boleh membantu mengelak orang-orang di sekeliling kamu dari jatuh sakit;
• Buangkan tisu yang telah digunakan ke dalam tong sampah;
• Tutup mulut anda semasa bersin dan batuk jika tiada tisu;
• Basuhlah tangan kamu setiap kali batuk dan bersin.


Apakah Teknik Terbaik Untuk Mencuci Tangan Dan Mengelak Dari Jangkitan Selesema?

Membasuh tangan dengan kerap akan membantu melindungi anda daripada kuman. Basuhlah dengan sabun dan air ataupun pembersih tangan berasaskan alcohol. Basuhlah tangan antara 15 ke 20 saat dengan air suam dan sabun. Jika tiada air dan sabun, tisu pakai buang berasaskan alcohol atau pembersih gel boleh digunakan. Ianya boleh didapati di kedai-kedai ubat dan pasar raya. Jika menggunakan gel, sapulah tangan anda sehingga gel itu kering. Alkohol di dalam gel tadi akan membunuh kuman dan ianya tidak memerlukan air untuk berkesan.


Apa Yang Perlu Saya Lakukan Jika Jatuh Sakit?

Jika anda tinggal di kawasan yang dikenal pasti wabak Virus Influenza A (H1N1) itu merebak dan mempunyai simptom-simptom demam selesema termasuk demam panas, sakit badan, selesema, sakit tekak, muntah mual dan cirit-birit, anda perlu berjumpa dengan doktor, terutamanya jika anda risau tentang simptom-simptom tadi. Doktor akan mengesahkan sama ada sebarang ujian atau rawatan adalah perlu.


Jika anda sakit anda perlu:-

  • Tinggal di rumah dan mengelak hubungan dengan orang lain sebaik mungkin untuk mengelak jangkitan;
  • Mendapatkan rawatan kecemasan jika mengalami tanda-tanda awal penyakit;

Untuk kanak-kanak tanda-tanda dan perlu dibawa untuk dirawat adalah seperti berikut:-

  • Kesukaran bernafas dan pernafasan yang terlalu cepat;
  • Warna kulit bertukar kebiru-biruan;
  • Tidak minum air yang secukupnya;
  • Tidak bangun dan berinteraksi;
  • Tidak suka dipegang dan asyik merengek;
  • Simptom seperti selesema dan pulih tetapi kemudiannya berulang bersama demam dan batuk yang lebih teruk;
  • Demam dan beruam.


Bagaimana Seriusnya Jangkitan Virus Influenza A (H1N1) ini?

Seperti demam selesema yang lain, kesan selesema babi (Virus Influenza A) (H1N1) pada manusia adalah berbeza dari tahap sederhana ke tahap serius. Antara 2005 hingga Januari 2009, 12 kes jangkitan pada manusia tanpa kematian dikenal pasti di Amerika Syarikat. Walau bagaimanapun kesan dari selesema babi ini boleh menjadi serius. Pada September 1988, seorang wanita mengandung berumur 32 tahun dari Wisconsin dimasukkan ke hospital akibat jangkitan paru-paru akibat selesema babi dan meninggal dunia 8 hari kemudian. Pada tahun 1976, wabak selesema babi dikesan di Fort Dix, New Jersey mengakibatkan lebih 200 kes serius dan satu kematian.


Bolehkah Saya Dijangkiti Melalui Memakan Dan Menyediakan Masakan Berasaskan Babi?

• Tidak.


Selesema babi tidak boleh merebak melalui makanan. Ianya tidak boleh dijangkiti melalui makanan dan produk berasaskan babi. Memakan produk berasaskan babi yang dimasak dan disediakan dengan sempurna.

TINDAKAN SERTA-MERTA KEMENTERIAN KESIHATAN

• Kementerian Kesihatan menguat kuasa serta-merta empat langkah pencegahan:-


i. Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia mengaktifkan Bilik Gerakan untuk membuat pemantauan situasi wabak Virus Influenza A (H1N1) dengan pihak WHO bagi memastikan tindakan-tindakan proaktif diambil untuk melindungi kesihatan awam penduduk Malaysia.


ii. Semua Pengamal Perubatan termasuk di sektor swasta yang merawat kes-kes yang mempunyai tanda-tanda atau gejala ‘influenza-like illness’ atau ‘severe pneumonia’ dan mempunyai sejarah melawat Mexico, California, Kansas, Ohio, Texas, New York atau Kanada selepas 17 April 2009 diminta untuk memaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat dengan serta merta melalui telefon untuk tindakan pencegahan dan kawalan.


iii. Saringan tanda-tanda jangkitan Virus Influenza A (H1N1) di semua pintu masuk negara untuk pelawat atau warga Malaysia yang ada melawat ke negara Mexico, California, Kansas, Ohio, Texas, New York atau Kanada selepas 17 April 2009.


iv. Membuat kenyataan akhbar dari masa ke semasa situasi wabak Virus Influenza A (H1N1) untuk maklumat orang awam di Malaysia dan langkah kawalan dan pencegahan yang diambil oleh Kerajaan.

• Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menyatakan pada Sidang Media pada 26 April 2009 mengenai wabak berkenaan amat berbahaya kerana ia tersebar melalui manusia bukannya haiwan seperti selesema burung atau ‘avian flu’ yang pernah melanda negara ini.

• Beliau bagaimanapun meminta rakyat negara ini supaya tidak panik kerana Kerajaan sentiasa berwaspada terhadap apa jua wabak yang boleh menyebabkan kematian.

• Pengawasan itu membabitkan pemeriksaan kesihatan terhadap orang ramai antaranya mereka yang menunjukkan tanda-tanda demam panas.

• Pengawasan di semua pintu masuk negara diperketatkan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengekang penularan wabak selesema babi dari merebak ke dalam negara terutama penumpang penerbangan dari luar negara termasuk AS.

• Orang awam yang ingin mendapat maklumat lanjut berkaitan dengan wabak Virus Influenza A (H1N1) ini boleh mendapatkan maklumat tersebut melalui talian 03-88810200 atau 03-88810300 pada waktu pejabat atau di laman web Kementerian http://www.moh.gov.my

Sumber : Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)
• Pusat Pencegahan dan Kawalan Wabak Amerika Syarikat (US Centers of Diseases Control and Prevention) atau CDC
• Akhbar-akhbar Utama Tempatan